Thursday 23 October 2014

Pemakanan selepas bersalin

Penjagaan pemakanan adalah salah satu elemen yang sangat penting semasa tempoh wanita berpantang selepas bersalin. Ini adalah untuk memastikan si ibu mendapat zat makanan yang secukupnya untuk pemulihan, di samping untuk mengelakkan makanan yang boleh memberi mudarat seperti makanan berunsur sejuk yang boleh menimbulkan simptom angina dalam badan, atau makanan yang berunsur gatal atau tajam.

Kalau dilihat dalam masyarakat Melayu dahulu, si ibu hanya dibenarkan untuk menjamah nasi berlaukkan ikan kering, ikan bakar berkunyit atau ikan bilis dengan lada hitam sahaja. Air pun tidak boleh diminum banyak, hanya dua ruas jari sahaja setiap kali minum. Ini bukan sahaja sekadar tidak membantu mempercepatkan pemulihan si ibu, bahkan boleh menyebabkan masalah kesihatan kepadanya seperti masalah tekanan darah rendah atau masalah kepada buah pinggang.

Amalan diet sebegini juga berpotensi memberi masalah kepada ibu yang menyusukan anak, terutamanya yang mengamalkan penyusuan yang eksklusif. Tumbesaran bayi memerlukan zat yang banyak terutamanya dalam bentuk protein, kalsium dan vitamin B complex. Bagaimana zat-zat ini hendak ada dalam susu ibu sekiranya si ibu hanya memakan ikan kering dengan nasi? Amalan diet ini juga boleh menyebabkan masalah kekurangan susu dan susu cepat habis.

Itulah sebabnya amalan berpantang tradisional dilihat banyak bertentangan dengan amalan perubatan moden yang lebih toleran dalam bab diet selepas bersalin.

Oleh itu, apa yang patut dimakan semasa berpantang?
1.Seperti yang saya ada nyatakan di atas, si ibu memerlukan zat yang mencukupi dalam pemakanan. Makanan yang kaya dengan protein adalah sangat diperlukan seperti daging, sesetengah jenis ikan dan ayam (bergantung kepada sesetengah amalan keluarga. Ada sesetengah menolak sepenuhnya ayam dari diet, ada sesetengah yang memilih ayam hitam atau ayam kampung sahaja).

2.Ikan kategori yang boleh dimakan pula ikan tenggiri, bawal, salmon, haruan, siakap, ikan merah, kerisi, kurau, kerapu, senangin, jenahak dan ikan bilis. Sayur-sayur yang boleh dimakan pula adalah dari kategori yang tidak sejuk dan yang boleh menggalakkan pengeluaran susu untuk bayi seperti sayur sawi, lobak putih, bok choy, lobak merah dan bawang merah. Ini juga termasuk ulam-ulaman seperti pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina dan daun kari.

3.Buah-buahan pula yang boleh dimakan adalah buah tamar/kurma (sangat elok untuk dimakan dari waktu mengandung sehingga selepas bersalin), epal dan pear.

Sementara itu, makanan yang perlu dielakkan semasa berpantang adalah:
1.Makanan laut seperti udang, sotong, kerang, ketam dan sesetengah ikan yang bersifat gatal seperti ikan duri, tongkol, sembilang dan ikan pari.

2.Sayur-sayur yang menjalar dan bersifat angin seperti kangkung, taugeh, pucuk ubi, labu, timun, keladi, pucuk paku, kacang panjang, petola, terung, petai dan jering.

3.Buah-buahan yang bersifat sejuk atau tajam seperti kelapa muda, mangga, durian belanda, nenas, jambu, belimbing, cempedak, nangka dan sebagainya.

Pemakanan semasa berpantang ini juga elok disandarkan kepada sunnah Nabi saw, di mana makan apabila lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Kelaparan tidak elok berlaku semasa berpantang kerana berisiko untuk masuk angin. Tambahan pula rasa lapar juga adalah satu cara saraf memberikan signal bahawa si ibu sedang memerlukan nutrien untuk badannya. Sementara makan hingga terlalu kenyang pula seperti yang kita ketahui turut boleh membawa mudarat kepada si tuan badan. Amalan sunnah ini elok diamalkan tidak kira dalam keadaan berpantang atau tidak.

Pengambilan air semasa berpantang juga perlu dikawal dan dijaga. Tidak boleh terlalu banyak meminum air kerana boleh mengembangkan urat-urat badan, pada masa yang sama tidak boleh terlalu kurang. Pastikan air diminum sekadar secukupnya.

Walau bagaimana pun, amalan petua ini hanya sesuai digunapakai untuk wanita yang bersalin normal. Untuk yang melahirkan anak melalui kaedah caesarean, mungkin memerlukan amalan diet yang lebih teliti.

P/s: Petua-petua yang dinyatakan di atas hanyalah panduan atau nasihat yang tidak ada kaitan dengan kaedah atau amalan perubatan. Petua dan nasihat ini juga mungkin tidak sama seperti yang diamalkan oleh sesetengah komuniti Melayu itu sendiri berdasarkan perbezaan budaya dan amalan tradisional

** These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease. 

Rakan Shaklee Anda 
Nik Azimah bt Awg.Hamat (SID : 894805) 
♥ SMS/WhatsApp : 017-343 0922 
♥ Emel : nik_azimah81@yahoo.com 
♥ FB Page: Peminatvitamin 
♥ FB : Nik Azimah Awg Hamat

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen