Perlukah ibu hamil mengambil sebarang vitamin ataupun suplemen
kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal ibu masih tercari-cari
apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai semasa kehamilan?
Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan
mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan. Salah satu
soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah berkaitan keperluan
pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang
diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil
dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan
bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan.
Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang
kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat
memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan,
mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya. Oleh sebab itu,
pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan
keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk
tumbesaran bayi dalan kandungan. Pengambilan vitamin dan suplemen
kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko
kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen
mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli
farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh
ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa
trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan
risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub
neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf
di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang
untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari
sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga
dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi
Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu
sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
- Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
- Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
- Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan
sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika
kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil.
Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi
menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat
besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam
diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan
boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat
besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana
ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal
lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini
berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4
bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang
disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti
mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun
cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti
30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan
yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat
pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat
besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang
mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain,
disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan
lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan
pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga
penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu.
Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku
kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah
terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam
pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh
mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa
maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam
dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50
tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting
bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan.
Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati
supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan
merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk
bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu
memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang
dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam
mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah
penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan
tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi
bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU
vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
Rakan Shaklee Anda :-
Nik Azimah bt Awg.Hamat (SID : 894805)
♥ SMS/WhatsApp : 017-343 0922
♥ Emel : nik_azimah81@yahoo.com
♥ FB Page: Peminatvitamin
♥ FB : Nik Azimah Awg Hamat
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen